Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa
saya merasai pengalaman 'getir' itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi
sebagai bapa.
Pada hari
itu, subuh lagi isteri sudah berpesan,
"Abang,
nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni."
Saya hanya
angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa.
Kali
pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu,
saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar
di meja.
"Encik
Ammar tak pergi ambil result anak?"
"Relakslah.
Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh
ambil."
Terus
menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon
berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut.
"Abang,
dah gerak dari ofis belum?"
"Belum.
Baru nak gerak." Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
"Result
dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak
tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn."
Lif dari
tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain
dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya
gugup.
Zulfa
sederhana saja di sekolah. Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas.
Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua
untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa
yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi
saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal.
Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun
akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam
perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di
dalam kereta.
Sampai
saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Tiba
maghrib, dia berhenti solat sendiri.
Selepas
makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari,
apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus
membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ada masa,
dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang
saya tertidur atas katilnya. "Abah, Zulfa nak tidur." Saya melihat
jam dinding, pukul 12 malam.
Hari
minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak
diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami
tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup
setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari
minggu masih memandu jauh.
Tapi
rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak
yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu,
fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Sebagai
bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal
apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi
dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya
tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun,
beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya.
Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega.
Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon
Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan 'loading'. Alamat url yang
disebut isteri saya taipkan satu persatu. 'Enter'. Paparan telah tersedia.
Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Lama saya
duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa.
Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang
saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu
saya ucapkan nanti.
"Abang,
guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar
'result online' dah keluar. Abang dah tengok?"
"Dah."
Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa
yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
"Allah
bang..." Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak
untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia
berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk
mengetahui.
Ketika
itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu
pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi.
Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh,
saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki
tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang
sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya
mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik
rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang
enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan,
sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa
terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus.
Itu keyakinan dia ketika itu.
"Ya
Allah, teruji sungguh hati ini hari ini." Saya hanya mampu bersandar pada
dinding.
Selepas
menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati,
"Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya
dia bang." Mata isteri mula berair.
Saya
memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya
dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila
tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah
mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang
dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
"Allah,
Allah, Allah..." Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk
pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Kartun ini menyindir kita semua. |
Zulfa
memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan
bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau
pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu.
Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang
menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik
saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah.
Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu
yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada
sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Saya
berjaya mengawal 'ego' seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti
akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
"Ya
Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya
Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati
kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia
melainkan engkau ya Allah.
Tanpa
dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa
ketika itu.
Ya Allah,
Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang
diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api
semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya,
kami sangat LEMAH ya Allah.... "
Sebut saja
perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi
diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia
boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang
strategi 'pasti berjaya', apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka
begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya
terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh.
Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya. Saya serahkan
sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah. Ketika
itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
>>>
Alhamdulillah...
Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku
sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya
kenal di sekolah rendah sebelum ini. Potensinya dicungkil dalam pelbagai
bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak
terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah
sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan
sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak
murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka. Mana yang
keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka
kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu
lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa
rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
Nukilan:
Ammar
Kamilin
Tidak kuat
melihat anak-anak berduka.
No comments:
Post a Comment